Assalamualaikum. Saya 07 DIN 0294 dari group 33. Saya ingin berkongsi pengalaman hidup saya yang agak mencabar dan banyak memberi pengajaran serta menjadikan saya lebih bertanggungjawab dan matang. Saya merupakan anak sulung daripada 3 orang adik-beradik. Saya juga merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga saya. Tanggal 13 oktober 1998, saya telah kehilangan ayahanda yang tercinta akibat penyakit barah paru-paru. Pada masa itu saya berusia 10 tahun dan adik saya yang bongsu baru berusia 3 tahun. Walaupun ketiadaan ayah, saya dan adik-beradik tetap bahagia hidup bersama ibu tercinta walaupun dalam serba kekurangan.
Ibu saya bekerja keras untuk membesarkan kami adik-beradik yang pada masa itu masih bersekolah. Ibu bekerja tanpa mengenal erti penat lelah. Pelbagai pekerjaan ibu saya lakukan semata-mata untuk membesarkan kami adik-beradik. Ibu bekerja tak mengira siang ataupun malam. Kami adik-beradik selalu ditinggalkan bersama nenek jika ibu kerja malam. Saya lah yang menjaga adik-adik semasa ibu bekerja. Ibu saya amat cekal dan tabah menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan 3 orang anak yang masih kecil. Pelbagai dugaan dan cabaran yang dilalui ibu, tetapi ibu tetap tabah menghadapi segala dugaan.
Setelah setahun ibu hidup menjanda, ibu telah mengambil keputusan untuk berkahwin lagi. Pada ketika itu, kami adik-beradik langsung tidak kisah dengan keputusan yang ibu untuk berkahwin lagi. Tetapi keputusan ibu mendapat tentangan daripada datuk dan nenek. Ini adalah kerana bakal ayah tiri saya itu suami orang dan mempunyai 4 orang anak ketika itu. Selain itu juga, bakal ayah tiri saya hanya bekerja sebagai jurujual yang menjual barangan elektrik dari rumah ke rumah. Saya sangat bersimpati pada ibu tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa. Pada waktu itu, ibu berusia 33 tahun dan masih memerlukan kasih sayang seorang suami untuk meneruskan kehidupan disamping bersama kami adik-beradik. Namun begitu, setelah beberapa kali ibu memujuk datuk dan nenek, akhirnya mereka bersetuju.
Tanggal 29 julai 2000, ibu telah mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki pilihan hati ibu yang diharap akan meringankan beban yang ditanggung ibu serta akan membahagiakan hidup ibu dan kami adik-beradik. Namun semua telah ditentukan oleh Allah s.w.t, semua yang diharapkan oleh ibu dan kami adik-beradik kepada ayah tiri saya tidak seperti yang diharapkan. Beban ibu bertambah kerana ayah tiri saya seorang yang malas bekerja dan hanya mengharapkan hasil titik peluh ibu untuk makan. Ayah tiri saya hanya bekerja bila langsung tidak ada duit dan bekerja apabila selepas di suruh dan bergaduh dengan ibu. Dalam masa sebulan boleh di kira berapa kali ayah tiri saya bekerja. Jika ayah tiri saya tidak bekerja dia hanya akan tidur sahaja sepanjang hari di rumah, manakala ibu yang keluar mencari rezeki untuk kami dan ayah tiri saya itu.
Saya sangat bersimpati kepada ibu saya tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tambahan pula saya akan menduduki ujian penilaian sekolah rendah pada ketika itu. Saya berasa sangat stress pada masa itu, bukan sahaja masalah keluarga tetapi masalah kewangan. Duit kami adik-beradik yang ditinggalkan oleh arwah ayah habis dikikis oleh ayah tiri saya. Duit tersebut digunakan untuk majlis perkahwinan adik-adik ayah tiri saya. Duit itu juga digunakan untuk perjalanan dari Terengganu ke Taiping untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut.
Setelah duit kami adik-beradik telah habis di gunakan, duit ibu di dalam pula di ambil. Saya masih ingat lagi, ibu terpaksa sorokkan buku bank daripada pengetahuan ayah tiri saya itu. Tetapi ayah tiri saya memang pandai, saya tiri saya boleh tahu tempat ibu sorokkan buku bank tersebut. Selepas tahu tempat ibu sorokkan, ayah tiri saya itu memaksa ibu keluarkan duit dalam bank tersebut. Ibu terpaksa keluarkan duit tersebut untuk kami sekeluarga makan. Nasib baik satu lagi buku bank ibu sorokkan tidak di jumpai ayah tiri saya itu. Ibu amat berharap buku bank yang satu lagi ini tidak akan di jumpai. Walaupun simpanan dalam bank tersebut tidak banyak, tetapi itu sebagai simpanan untuk kami gunakan ketika kami susah. Ibu pandai menguruskan perbelanjaan kami, tetapi habis di gunakan oleh ayah tiri saya itu kecuali buku bank yang tidak di jumpai itu sahaja.
Bukan setakat duit di dalam bank sahaja yang di gunakan ayah tiri saya itu tetapi barang-barang kemas ibu juga di gadaikan. Duit raya kami adik-beradik juga digunakan kesemuanya. Jika sebelum ini duit raya kami ibu akan simpan dan memasukkan ke dalam akaun kami. Tetapi yang paling saya tidak dapat lupakan ialah ayah tiri saya itu memaksa ibu pergi pinjam duit dari kawan ibu. Ibu terpaksa tebalkan muka pergi juga untuk pinjam. Saya masih ingat pada ketika itu saya temankan ibu dan saya nampak ibu menangis ketika itu. Duit-duit ini semua digunakan untuk bayar kereta dan hantar duit kepada isteri serta anak-anaknya. Ibu ada juga memberitahu saya, kesemua duit kami yang digunakan oleh ayah tiri saya itu ialah sebanyak RM10 ribu.
Ibu dan kami adik-beradik tetap bertahan sehinggalah saya masuk sekolah menengah. Ketika ini semakin hebat dugaan yang di hadapi ibu iaitu ketika ibu keguguran, ayah tiri saya membawa anak-anaknya ke rumah kami. Ibu pula terpaksa untuk memasak dan menjaga adik-adik tiri saya itu walaupun masih dalam pantang. Ibu menjaga adik-adik tiri saya sama seperti menjaga kami adik-beradik. Tetapi kebaikan ibu saya itu tidak pernah dihargai kerana anak ayah tiri saya yang sulung itu memburukkan ibu saya dan langsung tidak menghargai segala yang ibu saya lakukan kepada mereka adik-beradik.
Saya mula menjadi sangat benci terhadap ayah tiri saya sekeluarga tetapi ibu menasihatkan saya supaya buang perasaan benci saya itu jauh-jauh. Saya akur dengan nasihat ibu saya itu tetapi dalam masa yang sama saya masih bencikan ayah tiri saya itu dalam diam. Tetapi saya masih lagi bersabar dan menganggap semua ini adalah dugaan. Tetapi semakin saya bersabar semakin berat dugaan yang saya rasai. Ibu saya tidak bekerja dan hanya harapkan duit dari ayah tiri saya yang bekerja sebagai nelayan pada ketika itu. Walaupun ada pekerjaan tetapi perangai ayah tiri saya itu tetap tidak berubah sehinggalah dia dibuang kerja.
Pada ketika ini, kami sekeluarga sangat tertekan dengan masalah kewangan. Saya masih ingat yang saya dan adik langsung tidak bawa duit ke sekolah tetapi nasib baik saya bersekolah pada waktu petang pada ketika itu dan sempatlah makan tengahari dahulu sebelum ke sekolah. Adik saya yang masih sekolah rendah pula membawa bekal tiap-tiap hari ke sekolah.
Ketika ini jugalah saya belajar makan ikan jeruk dan telur sahaja kerana tiada duit. Ibu pula tidak dapat untuk pergi keluarkan duit dari buku bank yang ibu sorokkan itu kerana terpaksa menjaga kami adik-beradik dan anak-anak ayah tiri saya itu. Selepas di buang kerja ayah tiri saya bekerja pula mengali emas secara haram bersama kawan-kawannya. Kami terpaksa makan duit hasil pekerjaannya itu. Tetapi selepas 3 bulan bekerja, ayah tiri saya dan kawan-kawannya ditangkap dan ditahan polis selama 3 hari. Ibu lah paling malu pada masa itu dan hanya menebalkan muka sahaja. Saya juga tertekan apabila orang bertanyakan ayah tiri saya itu.
Selepas dibebaskan, ibu telah meminta cerai tetapi ayah tiri saya itu merayu-rayu kepada ibu saya supaya beri peluang kepadanya untuk berubah. Ibu saya akur dan bersetuju. Selepas daripada itu ayah tiri saya agak banyak berubah dan saya mula memaafkannya. Tetapi malangnya selepas 4 bulan dia kembali kepada perangainya yang asal. Perangainya pula semakin teruk sehinggakan sanggup menghisap ganja dan setiap hari akan bergaduh dengan ibu. Ayah tiri saya itu juga tidak berpuasa dan solat. Ayah tiri saya itu juga sanggup mencuri dan menjual rantai tangan emas ibu.
Saya sangat tertekan pada masa itu dan amat-amat bencikannya. Ibu juga tidak lagi dapat bertahan dan bersabar dengan ayah tiri saya itu. Ibu saya meminta cerai, walaupun peguam syariah tidak setuju dengan keputusan ibu tetapi setelah ibu mnceritakan segalanya mengenai ayah tiri saya itu. Ibu juga memberitahu yang wang mas kahwin masa berkahwin dahulu adalah duit ibu yang dipinjamkan kepada ayah tiri saya semata-mata untuk berkahwin. Duit tersebut tidak dibayar sehingga sekarang. Peguam tersebut bersetuju dan memberitahu cara-cara yang perlu ibu lakukan.
Pada tarikh 26 february 2002, ibu telah bercerai dengan bekas ayah tiri saya itu. Tarikh ini merupakan tarikh yang paling bermakna kepada kami sekeluarga. Saya bersyukur kerana memberi pengakhiran kepada pendertaan yang kami tanggung. Bermula dari tarikh ini dan sehinggalah sekarang hati ibu telah tertutup bagi mana-mana lelaki sehingga sekarang. Kami sekeluarga tidak akan lupa segala yang berlaku kepada kami sampai bila-bila. Saya juga tidak dapat memaafnya sampai sekarang. Duit kami adik beradik serta duit ibu yang diambilnya itu, saya tidak halalkan sepanjang hidup saya dan saya berharap dia akan membayar balik. Begitu juga dengan ibu saya, ibu tidak menghalalkan dan harap agar duit-duit tersebut akan dibayar balik. Ibu juga berniat akan membuat kenduri sekiranya duit tersebut dibayar sepenuhnya. Saya tidak tahu samada ibu sudah memaafnya atau tidak.
Sehingga sekarang kami langsung tidak mendengar apa-apa berita tentang bekas ayah tiri saya lagi. Saya berharap agar dia sudah berubah dan bahagia hidup disamping keluarga. Ibu pula keras bekerja untuk kami sekeluarga. Walaupun susah tetapi ibu bersyukur kerana hatinya tidak lagi sakit dan tertekan serta bahagia bersama kami adik-beradik.
PENGAJARAN DARIPADA PENGALAMAN TERSEBUT
Pengajaran daripada pengalaman yang saya lalui tersebut ialah saya menjadi lebih bertanggungjawab terhadap ibu serta adik-adik saya. Memandangkan saya merupakan anak sulung dalam keluarga saya, maka tanggungjawab saya terhadap keluarga agak berat dan besar. Saya melaksanakan tanggungjawab ini sebaik-baiknya dan akan melindungi keluarga. Saya juga berjanji pada diri saya yang saya akan membahagiakan ibu dan adik-adik saya. Saya juga akan memikul tanggungjawab menanggung segala perbelanjaan adik-adik selepas saya bekerja nanti.
Daripada pengalaman ini juga saya menjadi lebih matang. Saya menjadi lebih memahami dan menjaga perasaan ibu juga orang lain. Saya juga tidak lakukan sesuatu yang tidak sukai ibu dan menyakitkan hati ibu. Sekiranya saya melakukan sesuatu, saya akan pastikan yang perkara tersebut tidak akan menyusahkan dan menyakitkan hati ibu. Saya juga akan bertanyakan dahulu kepada ibu sebelum pergi ke mana-mana. Walaupun ada yang mengata saya kolot tetapi langsung tidak kisah kerana ibu saya sayang dan tidak akan susahkan ibu lagi. Saya juga tidak menipu dan meninggikan suara terhadap ibu.
Saya juga menjadi amat terharu dan menghargai pengorbanan ibu terhadap kami sekeluarga. Saya juga tidak akan lupakan pengorbanan ibu terhadap kami sekeluarga. Saya juga jadikan ibu sebagai idola saya. Saya nak jadi kuat dan tabah dalam hadapi dugaan tanpa mengeluh.
Saya juga lebih sayang terhadap ibu dan adik-adik. Saya hanya ada ibu dan adik-adik sahaja dalam hati saya. Saya rela tidak berkahwin semata-mata untuk membahagiakan ibu dan adik-adik. Saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk keluarga saya. Saya akan baiki rumah dan hanya bagi ibu duduk di rumah sahaja. Saya juga akan sajikan ibu dengan makanan yang sedap-sedap bukannya ikan jeruk dengan telur.
Saya juga sedar bahawa restu orang tua untuk mendirikan rumah tangga juga amat penting. Saya juga meletakkan keputusan dalam memilih pasangan di tangan ibu saya. Saya juga takut untuk memilih pasangan, saya takut jadi seperti apa yang dilalui ibu dahulu. Saya akui bahawa itu adalah takdir daripada Allah s.w.t tetapi saya menjadi takut berkahwin.
Daripada pengalaman saya itu juga, saya menanam cita-cita untuk menghantar ibu ke tanah suci dari hasil titik peluh saya. Saya bercita-cita untuk menjaga ibu saya sehingga ke akhir hayat saya. Saya juga selalu berdoa semoga Allah s.w.t panjangkan umur ibu supaya saya dapat membalas budi ibu. Saya juga berharap dapat tengok ibu senang dengan hasil titik peluh saya bekerja. Saya berdoa supaya kami sekeluarga tidak lagi susah seperti dahulu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan